POST-TITLE-HERE

Posted by Author On Month - Day - Year

POST-SUMMARY-HERE

POST-TITLE-HERE

Posted by Author On Month - Day - Year

POST-SUMMARY-HERE

POST-TITLE-HERE

Posted by Author On Month - Day - Year

POST-SUMMARY-HERE

POST-TITLE-HERE

Posted by Author On Month - Day - Year

POST-SUMMARY-HERE

POST-TITLE-HERE

Posted by Author On Month - Day - Year

POST-SUMMARY-HERE

Merdekakan Minda, Martabatkan Rakyat

Posted by Abu 'Asim On 4:02 AM
Teks Ucaptama Muktamar Ketua Muslimat PAS :
Merdekakan Minda, Martabatkan Rakyat
Oleh : Ustazah Azizah Khatib Mat
Tarikh : 31 Mei 2007
Mukadimah

Assalamu alaikum warahmatulLahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Azza Wajalla kerana dengan Taufik dan Inayah-Nya kita dapat berhimpun pada Muktamar kali ini. Kita juga bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang memuliakan kita dengan Islam dan perjuangan Islam sebagai warisan para nabi dan rasul. Semoga kita terus tergolong dalam rantaian usaha untuk meninggikan kalimah Allah Subhanahu wa Ta’ala di muka bumi ini.

Pada kesempatan ini, izinkan saya mewakili kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat dan seluruh panitia Muktamar merakamkan ucapan “Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum” – selamat datang dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Timbalan Presiden PAS, Yang Berbahagia Ustaz Nasharuddin b Mat Isa atas kesudiannya merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-47 tahun ini. Tidak lupa juga penghargaan kepada semua tetamu kehormat, para perwakilan dan pemerhati dari seluruh tanah air. Pastinya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan menambahkan seri, barakah dan makna bagi Muktamar kali ini.
Muktamar ini sangat bererti bagi kita semua kerana inilah perhimpunan terakhir sebelum kita menghadapi Pilihanraya Umum Ke-12. Oleh sebab itu, jadikan medan ini sebagai medan untuk kita bermuhasabah gerak kerja yang lepas dan merangka strategi akan datang dalam semangat mahabbah dan kasih sayang. Teguran, analisis, muhasabah yang jujur, telus dan lontaran idea yang bernas amat perlu demi kelangsungan jemaah yang kita sayangi dan dokongi bersama.
Muslimat PAS Sepintas Lalu

Selama empat puluh tujuh tahun muslimat telah menongkah arus perjuangan. Pelbagai ragam dan kerenah yang ditemui di sepanjang perjalanan. Berbekalkan kesabaran yang tinggi, pekerti yang mulia, perilaku yang berhemah, muslimat telah berjaya memartabatkan gerak kerja di persada nasional dan antarabangsa.

Alhamdulillah, pada 5 Ogos 2006, Dewan Muslimat PAS Pusat telah berjaya mengadakan Konvensyen HalWa yang mengumpulkan jentera pilihanraya muslimat dari segenap pelusuk tanah air di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah (PUTIK), membuktikan kesungguhan dan kesediaan muslimat untuk terjun ke medan pilihanraya. Diikuti pula dengan Bengkel Wanita Barisan Alternatif demi memantapkan hubungan gerak kerja pilihanraya kita dengan jentera Parti Keadilan Rakyat. Keupayaan kita untuk duduk semeja berbincang mengenai hak pekerja wanita di samping pelbagai aktiviti kebajikan serta kegiatan Projek Non Muslim 10 merupakan antara gerak kerja kita di sepanjang sesi yang lalu. Di persada antarabangsa, kita mempunyai hubungan yang rapat dengan Gerakan Islam seperti di Morocco, Sudan ,Turki, Indonesia, Pakistan dan Khashmir. Dan baru-baru ini juga Senator Muslimat daripada Negeri Kelantan di Dewan Negara telah diundang mewakili Malaysia dalam Video Conference anjuran BBC London.
Kejayaan NISA’ sebagai anak bongsu Dewan Muslimat menarik perhatian generasi muda wanita menerusi aktiviti mesra remaja adalah amat membanggakan kita. Bersama-sama Kerajaan Negeri Kelantan, NISA’ telah menganjurkan NISA’ Games 2007 sehingga dianggap salah satu sukan berprestij di tanahair. Seterusnya NISA’ berjaya mengadakan Konvensyen Generasi ke 3 pada 1 hb Mei 2007 baru-baru ini.

Dari segi pengurusan organisasi, kita telah menyediakan Modul Pengurusan dan Pentadbiran, Modul Pengurusan Kewangan, selain memperkemaskan Plan Induk Dewan Muslimat. Daya usaha ini diteruskan dengan pengendalian teknologi maklumat menerusi Jabatan IT Muslimat dan kejayaan Unit Guaman Muslimat dalam urusan yang berkaitan perundangan.

DEFINISI TEMA

Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-47 pada tahun ini bertemakan ‘Merdekakan Minda, Martabatkan Rakyat’. ‘Merdeka’ bermaksud memberi kebebasan atau melepaskan diri dan minda daripada penjajahan. Tema ini mengajak barisan Muslimat memainkan peranan memerdekakan pemikiran rakyat daripada sebarang bentuk penjajahan terutamanya penjajahan fikiran.

Walaupun negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang kelima puluh, tetapi, rakyat Malaysia masih lagi terjajah dari segi pemikiran. Demokrasi yang berjalan di Malaysia selama lima puluh tahun sebenarnya dibelenggu oleh pihak kerajaan yang takut kehilangan kuasa. Oleh itu, semua maklumat dikawal, semua kakitangan kerajaan perlu Aku Janji, mahasiswa yang tidak menyokong kerajaan diintip dan diugut serta saluran media dikongkong. Seperti yang kita maklum Indeks Kebebasan Media Malaysia merudum lagi.

Justeru, tema ini membuktikan kesungguhan muslimat untuk membebaskan diri dan rakyat dari belenggu penjajahan pemikiran. Kita ingin membentuk muslimat amnya dan rakyat khususnya yang berani dan bebas dalam memberikan buah fikiran, lalu ia menatijahkan rakyat yang bermartabat.

PERKUKUHKAN ORGANISASI, TAUTKAN UKHUWAH
Alhamdulillah, Dewan Muslimat PAS Pusat telah berpindah ke bangunan baru, berada sebumbung dengan lain-lain komponen di dalam Parti Islam SeMalaysia, berada dalam satu bangunan yang lengkap dengan prasarana yang sistematik dan teratur. Ingin saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa PAS Pusat yang diketuai oleh YB Tuan Guru Dato’ Seri Presiden sendiri atas usaha yang cukup besar ini. Pada kesempatan ini juga, saya mengalu-alukan kehadiran seluruh muslimat ke pejabat baru tersebut.

Bagi memperkukuhkan organisasi, saya ingin menggariskan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh anggota muslimat di semua peringkat:

Mantapkan ukhuwwah
Pertautan hati dengan ikatan roh dan aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan kita adalah persaudaraan iman dan kekuatan kita ialah kekuatan kesatuan. Tanpa mengira latarbelakang, kita sanggup mengorbankan masa, keseronokan, tenaga, wang ringgit, berjauhan dengan anak-anak dan suami tersayang, ibubapa yang dikasihi demi mengembalikan Islam ke tempatnya.

Di dalam keghairahan kita melakukan pelbagai gerakerja parti untuk memenangi hati rakyat, jangan kita lupa untuk memenangi hati keluarga dan sahabat-sahabat dalam jemaah kita sendiri. Dengan agenda politik kita yang besar, sifat prihatin terhadap sahabat-sahabat di sekeliling kita sama penting dengan pelaksanaan program politik kita. Marilah kita beramah-mesra, kenal-mengenali antara satu sama lain, agar tidak timbul rasa curiga, rasa syak-wasangka dan yang boleh menyebabkan lunturnya kasih sayang di antara kita.

Kita perlu bersedia menerima kebaikan dan kekurangan sahabat. Setiap manusia memiliki kedua-duanya, hanya manusia yang sempurna ialah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam. Justeru, hendaklah kita saling melengkapi, berlapang dada dan saling memaafkan lebih-lebih lagi kita adalah golongan yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam.

Saling hormat-menghormati
PAS memiliki ahli dari segenap peringkat masyarakat menyebabkan PAS cukup harmoni dan lengkap kerana sifat ahli-ahlinya yang saling tampung menampung kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kita mempunyai ustazah, doktor, arkitek, jurutera, akauntan, pengusaha tadika dan sekolah, pendidik, ahli perniagaan dan ahli-ahli kita yang bekerja di sektor awam mahupun swasta dan tidak ketinggalan pengurus rumahtangga sepenuh masa. Inilah realiti dan keunikan yang ada dalam jemaah kita.

Kepelbagaian latarbelakang ini juga menyebabkan ahli-ahli PAS khususnya muslimat saling berbeza pendapat dalam pelbagai perkara yang bukan dasar Islam. Itulah kelebihan yang ada pada PAS disebabkan sifat Islam juga dianuti pelbagai bangsa dan latarbelakang.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah. Dan (ingatlah!) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.”(Surah Al-Anfaal: 46, 47)

Dr. Taha Jabir Alwani dalam bukunya : “Etika Berbeza Pendapat di dalam Islam” (The Ethics Of Disagreement in Islam) menyatakan adab-adab dalam berbeza pendapat :1. Seseorang hendaklah menyedari bahaya dan ancaman yang sedang dirancang oleh musuh-musuh Islam.2. Meletakkan taqwa kepada Allah Ta’ala secara terang dan tersembunyi.3. Teguh dalam memahami serta membebaskan diri dari pengaruh peribadi dan pengaruh negatif.

Justeru, sebagai anggota gerakan Islam, kita dianjurkan untuk saling maaf-memaafkan di kalangan sahabat-sahabat kita yang mungkin melakukan kesilapan atau bersabar dengan kekurangan dan kelemahan yang ada pada sahabat kita.

Muslimat juga harus saling menghormati terhadap perbezaan yang ada ini di samping melaksanakan sikap memahami serta mengenali, saling mempercayai antara satu sama lain dan meletakkan ketaatan kepada kepimpinan yang sedia ada. Kikiskanlah segala perasaan negatif yang membelenggu kita.

Mendapatkan sokongan dan dokongan ahli keluarga

Saya memahami keperitan sebahagian daripada kita terhadap urusan rumahtangga dan anak-anak yang tidak pernah reda di samping keperluan untuk kita terus berintima’ dengan jamaah Islam. Sesungguhnya kita tetap faham dengan tugas hakiki seorang isteri dan ibu dan keperluan kita untuk mendidik anak-anak demi kesinambungan generasi mendatang.
Namun begitu, kepincangan dunia hari ini menyebabkan mahu tidak mahu kita mesti terlibat dalam mendidik masyarakat menggunakan platform PAS. Justeru, anggota muslimat harus mencari jalan agar mendapat sokongan dan dokongan ahli keluarga terutama suami, anak-anak dan ibu bapa agar tugas rumahtangga dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Menggerakkan tarbiyyah

Muslimat perlu terus bersama-sama menggerakkan tarbiyyah dan tidak hanya menyerahkan urusan tarbiyyah kepada Lajnah Tarbiyyah semata-mata. Tarbiyyah harus berlangsung selari dengan gerak kerja jamaah kerana tarbiyyah boleh berlangsung secara formal dan tidak formal. Kaedah dan cara pelaksanaan tarbiyyah perlu bersifat kotemporari sesuai dengan kehendak dan peredaran masa.

Elemen kerohanian sangat mustahak untuk dipraktikkan dari masa ke semasa. Usaha-usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala harus dimulakan sejak awal lagi supaya gerak kerja menjadi berkat. Di samping itu, muslimat harus membezakan diri dengan orang awam bahawasanya dari segi ibadah muslimat perlu lebih ke depan dan mendahului.

Organisasi yang sistematik

Sehingga kini kita boleh berbangga dengan sistem pengurusan yang kita miliki, termasuk pengendalian pejabat yang sistematik dan teratur. Pengurusan sumber manusia yang kita miliki memungkinkan kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan muslimat dalam apa jua urusan. Penggubalan pengurusan yang sistematik ini adalah berdasarkan tiga konsep :1. Usuliy (fundamentalis) dari segi dasar2. Kotemporari (muassirah) dari sudut perlaksanaan 3. Futuristik (istiqbali) dari segi persiapan masa depan.

Justeru, muslimat Negeri dan Kawasan harus melaksanakan konsep yang sama di peringkat masing-masing. Pengurusan sumber manusia harus ditangani dengan bijak dan teratur di samping jurang komunikasi harus dirapatkan dengan mengambil kira kemudahan teknologi terkini. Tidak dilupakan muslimat harus berperanan mengurus organisasi dan pejabat dengan teratur sehingga aktiviti dan program dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Dengan adanya pengurusan yang sistematik ini maka dapat kita meraih kepercayaan rakyat dan seterusnya akan membantu mencapai objektif kita untuk memerdekakan minda dan memartabatkan rakyat.

Peranan Generasi Ketiga

Sebelum saya melangkah dengan lebih jauh lagi berkenaan peranan generasi ketiga ini, terlebih dahulu saya ingin mengajak muslimat sekalian untuk memerhati senario dan situasi generasi muda di negara kita ini. Secara umumnya saya boleh katakan bahawa serangan pemikiran yang di lancarkan oleh musuh Islam kian berjaya menguasai generasi muda negara kita. Generasi muda kini meletakkan artis dan selebriti sebagai role model di dalam kehidupan. Samada dari segi imej, pemikiran dan perancangan masa depan. Mereka akan mudah menerima sesuatu jika ianya datang dari artis atau selebriti yang mereka sanjungi. Tidak cukup dengan itu, generasi muda di Malaysia ini juga turut mengalami kecelaruan identiti yang agak membimbangkan. Ada di antara mereka memilih untuk tidak berpegang kepada mana-mana agama,mengikut ajaran black metal, gothics, turut serta di dalam pesta buih atau pesta seks dan sebagainya.

Berdasarkan senario di atas jelas menunjukkan generasi muda kita perlu dibimbing dengan sebaiknya. Dewan Muslimat PAS melihat bahawa tugas untuk mendekati dan menyelami kumpulan ini perlu disambut oleh generasi muda muslimat. Maka dengan itu, generasi muda kita perlu disediakan dengan kemahiran dan ilmu yang kukuh supaya, pendekatan yang digunakan tepat dan berkesan.

Pendekatan dakwah yang sederhana dan kontemporari adalah satu formula yang terbaik dan perlu dihayati dan diamalkan oleh agen-agen dakwah kita yang terdiri daripada generasi muda ini.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman :
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Generasi muda dalam PAS sememangnya bersedia untuk menyumbang tenaga tetapi kita haruslah bijak meletakkan mereka di tempat-tempat yang bersesuaian dengan kapasiti mereka masing-masing. Dalam masa yang sama kita amat maklum generasi muda hari ini kurang peka dengan politik atas alasan itu Dewan Muslimat PAS amat mengalu-alukan pendekatan kotemporari yang dibuat oleh Nisa’ untuk mendekati generasi muda.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman :
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”(Al-Anfaal: 60)

Saya ingin memetik cetusan dari Hassan Al-Banna tentang generasi muda di dalam buku Perkara Asas Dalam Agenda Kebangkitan Ummah, kajian berdasarkan Gagasan Imam Hassan Al-Banna. Di dalam buku tersebut, beliau meletakkan generasi muda sebagai elemen yang penting di dalam kebangkitan ummah. Di mana generasi muda menurut pandangannya adalah sebagai pendokong utama kebangkitan Islam.

Oleh yang demikian terdapat 4 ciri utama yang perlu ada kepada generasi muda:1. Keikhlasan dalam mendokong2. Semangat yang sentiasa membara3. Sedia berkorban4. Berusaha untuk merealisasikannya.

Keempat-empat elemen ini mempunyai asasnya yang tersendiri iaitu keimanan asasnya ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang tinggi dan asas usaha adalah keazaman yang tinggi. Oleh yang demikian adalah penting kepada generasi muda untuk memperlengkapkan diri dengan ciri-ciri tersebut.

Firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka,dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”(Al-Kahfi : 13 )

Kita perlu serius di dalam membentuk generasi muda ini kerana perjuangan ini perlukan penyambungnya. Oleh yang demikian kita perlu memandang generasi muda ini dengan perspektif yang berbeza dengan mengambil kira umur mereka, masalah-masalah yang mereka hadapi, corak pemikiran dan bentuk tindakan. Hakikat yang sentiasa perlu kita pegangi ialah mereka inilah pelapis kita. Silap kita mencoraknya, maka pincanglah hasilnya.

Kita perlu membiarkan mereka menentukan rentak dan uslub di dalam gerak kerja mereka, namun begitu kita perlu pandu mereka dengan pengalaman kita. Oleh itu generasi muda wajar disayangi seikhlasnya supaya perjuangan ini berterusan dan disambung oleh generasi muda yang sentiasa teguh dan kukuh pendirian mereka sebagai amilin dan murabithun di dalam perjuangan.

Jaringan Hubungan Yang Luas

Dalam usaha kita untuk memastikan PAS dikenali dengan baik dan tidak lagi hanya dikenali rakyat melalui media yang berat sebelah, anggota muslimat di semua peringkat hendaklah membina rangkaian hubungan secara rasmi mahupun tidak rasmi yang luas merentasi perbezaan kepercayaan. Keakraban PAS dan Parti KeAdilan Rakyat sewajarnya diteruskan dan ditambah persefahamannya.

Di samping itu , muslimat perlu membina jaringan dengan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan dan kelab-kelab seperti kepenggunaan, media, pekerja, hiburan dan sukan. Oleh itu kita harus mencari titik-titik persamaan yang boleh dijadikan asas kerjasama antara kita dengan pihak lain demi memperjuangkan hak rakyat khususnya wanita Malaysia.

WANITA

Islam menjamin keadilan untuk semua tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Kemerdekaan yang dikecapi oleh penduduk Tanah Melayu sepatutnya membebaskan penduduknya daripada sebarang peraturan atau dasar yang tidak adil. Walaupun status wanita semakin baik selepas 50 tahun merdeka, namun masih ramai wanita yang tidak mendapat hak yang sepatutnya. Dasar wanita yang digariskan oleh kerajaan yang bermatlamatkan perkongsian kesaksamaan dan pembangunan sama sekali berbeza dengan pendekatan yang dibawa oleh Islam. Ini diburukkan lagi oleh sikap Ahli Parlimen BN baru-baru ini di Dewan Rakyat yang mulia, apabila mengeluarkan kata-kata yang berupa gangguan seksual ke atas rakan Ahli Parlimen sendiri iaitu YB Fong Po Kuan. Kata-kata tersebut sebenarnya menggambarkan pemikiran bawah sedar sebahagian pimpinan negara yang tidak menghormati wanita.

Tidak hairanlah wanita di Malaysia masih dilanda dengan gangguan seksual terutama di tempat kerja, kemiskinan, penderaan rumah tangga secara fizikal, mental dan emosi, masalah keselamatan wanita, pelacuran dan eksploitasi wanita. Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat Dasar dan Plan Tindakan yang dirancang dengan baik tetapi, jika asasnya tidak ampuh, ianya tidak mampu meletakkan wanita di tempat yang sepatutnya.

Hari ini kita sama-sama melihat, merenung dan menganalisa kepincangan-kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat Malaysia.

Keselamatan Dan Eksploitasi Wanita

“Saya sendiri dan keluarga sudah tidak lagi berasa selamat berjalan-jalan di jalan raya dan tempat awam di Malaysia hari ini,” Tun Haniff Omar, The Sunday Star.

Kata-kata di atas sengaja saya petik daripada pandangan seorang bekas Ketua Polis Negara dari sebuah akhbar dalam negara tidak lama dahulu. Sekiranya tahap keselamatan negara bagi seorang bekas Ketua Polis Negara disebutkan tidak lagi selamat, apatah lagi kita selaku seorang wanita dan orang awam di negara ini.

Keganasan terhadap wanita telah mencapai kadar yang mencemaskan.

Sebuah kajian mendedahkan kes jenayah telah melonjak kepada 45.1% dari tahun 2003 hingga tahun 2006. Kes rogol juga telah mengalami peningkatan berganda sebanyak 65.8% untuk jangka masa yang sama dan mendedahkan bahawa 6.7 orang wanita telah dirogol setiap hari. Di samping itu, kita juga dilaporkan bahawa peningkatan kes jenayah sebanyak 40% bagi tiga bulan pertama tahun ini.

Inisiatif untuk menjaga kedudukan wanita dan seterusnya menyekat segala bentuk eksploitasi telah bermula sejak Islam diturunkan sebagai agama yang diberkati oleh Allah s.w.t lebih kurang 1428 tahun yang lalu. Rata-rata hari ini, wanita seringkali menjadi mangsa dan membiarkan diri menjadi mangsa dari segi promosi komersil yang melampau memperlihatkan kepada kita mentaliti masyarakat hari ini yang tidak lagi menghormati dan melindungi wanita. Wanita juga seringkali kedengaran ditipu dari segi sumber pendapatan mereka selain penipuan oleh orang yang dikenali menerusi internet dan penyebaran gambar-gambar yang mengkhianati kepercayaan dan amanah mereka.Kerajaan Persekutuan juga dilihat tidak tegas dalam menguatkuasakan akta sedia ada untuk menyekat bahan-bahan sebegitu di pasaran sebaliknya lebih berminat untuk menyekat maklumat alternatif untuk dihidangkan kepada rakyat seperti akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Tidak cukup dengan itu, penulisan di laman web seperti blog juga turut sama hendak diusik sedangkan masalah akidah, akhlak dan moral yang terbentang di hadapan kita seakan-akan sunyi daripada tindakan.Namun begitu, melalui Kerajaan Kelantan, PAS telah membuktikan ia terus komited dalam memastikan pembinaan insan dan pembendungan gejala-gejala maksiat ini ditangani sesuai dengan tuntutan Islam. Meskipun diasak dengan pelbagai tanggapan serong dari Menteri-menteri dan pejuang hak asasi yang dilihat sebagai enggan memahami hasrat Islam dalam perkara ini, kerajaan PAS Kelantan telah memperkenalkan undang-undang yang melarang kaum wanita di negeri itu daripada berpakaian kurang sopan.

Wanita & Institusi Kekeluargaan

Satu kajian telah dilaksanakan terhadap 7,114 pelajar sekolah harian bandar dan luar bandar. Dalam tempoh 9 bulan kajian dibuat dan didapati:2,340 orang (32.5%) terlibat dengan jenayah, 2,135 orang (29.6%) ponteng sekolah, 1,443 orang (20%) kurang sopan/biadab, 273 orang (3.8%) lucah, 289 orang (4%) terlibat gejala salah laku.

Wanita Dan Kesihatan

Salah satu penyakit yang didapati menular dengan begitu pantas ialah HIV/AIDS. Mengikut statistik yang dicatat oleh Aidsgame.com, Malaysia menduduki tangga ke-55 di bawah Somalia berdasarkan bilangan mereka yang dijangkiti HIV/AIDS daripada 141 buah negara dunia.

Antara tahun 2001 dan 2005, terdapat 6000 dan 7000 kes HIV yang baru di Malaysia atau 17 – 19 kes sehari dengan 2 orang daripadanya adalah wanita. Lebih mencemaskan ialah tahap jangkitan di kalangan wanita bertambah 10 kali ganda dari 1.2% pada tahun 1990 kepada 12% pada tahun 2005. Majoriti kaum wanita yang dijangkiti HIV ini adalah melalui hubungan seks dengan suami atau teman yang menagih dadah.

Dasar Wanita Kelantan

Kerajaan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan ulama telah menggubal Dasar Wanita Kelantan yang bermatlamat untuk mempertahankan dan membina kemuliaan wanita melalui pengukuhan akhlaq dan moral. Selain itu, Dasar Wanita Kelantan dibentuk bagi memastikan perkongsian yang adil terhadap peluang penyertaan wanita bagi manfaat pembangunan di samping mempertahankan dan memperteguh sistem kekeluargaan Islam supaya dibina dan diurus berdasarkan cara hidup Islam. Ia memperlihatkan keprihatinan terhadap nasib wanita agar wanita dapat sama-sama terlibat dalam proses pembangunan tanpa mengkesampingkan peranan dan tanggungjawab utamanya dalam menguruskan rumah tangga dan membina generasi.

Selama lebih kurang 17 tahun PAS memerintah, beberapa perubahan positif telah dibuat dalam perkara-perkara berkaitan wanita.

Antaranya ialah:-i) memanjangkan tempoh cuti bersalin bagi kakitangan wanita kerajaan negeri Kelantan dari 42 hari ke 60 hari yang telah dilaksanakan dan diikuti oleh pelaksanaan di peringkat kerajaan Persekutuan ii) Menubuhkan Pusat perubatan An-Nisa’ yang menyediakan khidmat kesihatan khusus untuk wanita di mana kakitangannya adalah wanitaiii) Memberi cuti rehat 2 hari seminggu kepada kakitangan kerajaan negeri Kelantan. Ini kemudian telah diikuti juga oleh kerajaan Persekutuan iv) Menyediakan peruntukan khas untuk ibu tunggal atau armalah dan sekarang, dalam proses penubuhan secara berperingkat-peringkat, pusat khidmat armalahv) Melantik penghulu wanita untuk membantu kerajaan menguruskan hal ehwal wanita
Apa yang disusun oleh kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS menunjukkan bahawa PAS benar-benar mengambil berat tentang wanita. Terutama sekali sehingga kini semua senator yang dilantik Kerajaan Negeri Kelantan adalah dari kalangan wanita. Ini sama sekali bertentangan dengan propaganda yang dibawa oleh sesetengah pihak kononnya wanita di Kelantan tidak mendapat hak dan dizalimi oleh kerajaan.

Kerajaan Kelantan juga telah menggariskan peranan wanita di Kelantan yang boleh dijadikan panduan bagi semua aktivis muslimat. Wanita atau muslimat perlu memainkan peranan sebagaia. Pengukuh kesejahteraan keluargab. Pendidik generasi akan datangc. Pemangkin produk aktiviti masyarakatd. Penyumbang kepada ilmu pengetahuan, sains & teknologie. Pencetus ke’cakna’an aktiviti sosial

Wanita & Kepenggunaan

Isu pengguna sangat rapat dengan wanita kerana wanita adalah pengurus rumahtangga samada bekerja atau surirumah. Namun begitu, wanita Malaysia masih jauh ketinggalan dalam isu pengguna.

Kenaikan harga barang, kualiti khidmat dan produk yang rendah, penipuan serta manipulasi iklan adalah di antara masalah yang mesti ditangani melalui kuasa pengguna.

Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Pusat menyeru muslimat terkedepan dan berani dalam menyuarakan hak-hak kepenggunaan seperti penyediaan bekalan air yang bersih, pengkajian tarif air dan eletrik agar ianya tidak membebankan dan meningkatkan penguatkuasaan industri halal dengan peraturan yang lebih ketat.

Akta Keselamatan Dalam Negeri

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu undang-undang yang akan terus dipertahankan oleh pemerintah kerana ia adalah instrumen politik bagi kerajaan dan senjata ampuh bagi mengekalkan kedudukan yang ada sekarang. ISA adalah undang-undang yang zalim kerana seseorang itu boleh ditahan oleh pemerintah tanpa dibicarakan. Bukan sahaja tahanan ISA dizalimi dengan ditahan tanpa bicara malah anak isteri serta keluarga juga sering di takutkan dan diugut oleh agen-agen perisik kerajaan.

Dewan Muslimat PAS Pusat ingin menegaskan di sini bahawa ISA adalah menyalahi dan melanggar prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan yang dituntut oleh Allah seperti dalam firman-Nya:

“........dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil......”(Surah An-Nisa’: 58)

Beri sokongan padu untuk menolak ISA. Kita mesti pecahkan tembok ketakutan dan membebaskan diri dan rakyat dari “ketakutan” yang selama ini berjaya ditanam dalam minda rakyat melalui ISA. Berilah sokongan kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan bantulah keluarga mangsa ISA. Seharusnya kita ingat, bahawa penahanan ISA adalah bermotifkan politik dan cara untuk membebaskan tahanan dan rakyat Malaysia dari ISA adalah dengan tekanan politik.

Muslimat dan Pilihanraya

Kita kini sedang berada di ambang Pilihanraya yg ke-12 yang akan diadakan pada masa yang terdekat. Sebagai sebuah jemaah Islam yang bergerak dalam wadah politik, kita perlu sedar inilah masa kemuncaknya untuk kita memusatkan seluruh tenaga dalam menghadapi medan peperangan ini.

Kekentalan kerohanian merupakan elemen yang amat penting kerana hubungan yang kuat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah benteng yang ampuh dalam menghadapi apa jua rintangan mendatang. Saya menyeru kepada muslimat untuk mempertingkatkan amalan harian seperti zikir, membaca Al-Qur’an, Al mathurat, dan menghidupkan malam dengan bermunajat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, memohon perlindungan dan pertolonganNya. Ianya patut dijadikan amalan yang dilipatgandakan bukan sahaja kepada jentera HalWa tetapi kepada seluruh pendokong dan penyokong PAS.

Keindahan akhlak ini perlu kita serlahkan di semua peringkat ahli, tidak mengira masa dan tempat termasuk ketika berkempen pilihanraya. Sebagai pendokong parti Islam, tidak dapat tidak orang ramai khususnya para pengundi sentiasa menilai kita dari segi percakapan, perwatakan dan keperibadian kita dalam setiap masa dan keadaan. Aspek ini mungkin dipandang kecil oleh sebahagian daripada kita namun hakikatnya pandangan inilah yang sering menjadi kayu pengukur kepada masyarakat umum

Firman Allah Ta’ala
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”(Surah Al Ahzab: 21)

Dari Abu Dzar ra, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam mengatakan kepadaku :“ Janganlah kalian menganggap remeh satu perbuatan baik sedikitpun, meskipun hanya memberikan senyuman (wajah yang ramah) kepada saudaramu”(Hadis Riwayat Muslim)

Medan dakwah di luar sana amat luas, seluruh ahli Dewan Muslimat perlu bergerak dalam saf yang satu, menggembelingkan seluruh tenaga kerja yang ada. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kita memerlukan sahabat-sahabat kita yang lain untuk menembusi pasaran-pasaran yang sebelum ini kita belum mampu untuk kita terokai. Kita jangan meragui sahabat-sahabat kita yang menggunakan pendekatan dakwah yang di luar kotak pemikiran biasa selagi ianya berada dalam paksi Islam.

Sehingga kini masih ramai di kalangan masyarakat yang menggambarkan ahli PAS sebagai orang yang kurang mesra, suka menyalahkan orang dan pelbagai tanggapan negatif lain. Kita juga sering disebut sebagai golongan yang hanya pandai memberi komen tapi tidak pandai bertindak. Oleh itu kita perlu mengubah budaya mengkritik ini dengan budaya menyediakan penyelesaian secara praktikal.

Orang bukan Islam pula melihat perjuangan PAS akan merugikan serta mendiskriminasikan mereka walhal Islam itu diturunkan oleh Allah Ta’ala untuk kesejahteraan dan rahmat seluruh alam. Oleh itu kita perlu melebarkan dakwah islam agar mesej kita dapat sampai ke setiap lapisan masyarakat.

Sekiranya golongan bukan Islam boleh menerima ekonomi Islam sehinggakan pelbagai syarikat perbankan antarabangsa seperti Citibank, HSBC, OCBC dan lain-lain berlumba-lumba untuk memperkenalkan produk kewangan Islam, sudah tentu aspek lain seperti politik Islam boleh diterima oleh bukan Islam sekiranya mesej yang kita bawa itu dipakejkan secara menarik.

Apatah lagi sekiranya kita dapat memahamkan kepada bukan-Islam, penyelesaian yang hendak kita bawa melalui politik Islam ini bertujuan untuk melahirkan dan membentuk kesejahteraan, keselamatan dan keadilan untuk semua.Kita perlu meyakinkan kepada mereka keadilan dalam politik Islam ini lebih hebat dan tidak ada tolak bandingnya dengan keadilan yang ditawarkan oleh sistem politik lain yang dicipta oleh manusia.

Politik yang seringkali menyerang individu, merendahkan martabat seseorang, politik yang sentisa bersifat keras, politik yang retorik perlu beralih kepada politik yang berfakta, politik yang berhemah, politik yang menjuruskan kepada kebajikan, politik yang meraikan kepelbagaian tanpa menggadaikan prinsip Islam.

Kita juga maklum kekuatan material kita tidak sehebat parti lawan, tetapi apa yang lebih penting ialah kekentalan kerohanian (spiritual) dan kebijaksaan kita mengatur strategi perlu diperhebatkan. Terdapat pelbagai contoh dalam sejarah Islam di mana kemenangan Islam bukan hanya bergantung kepada kekuatan lahiriyyah semata-mata. Inilah realiti perjuangan Islam yang harus kita selami dan halusi.

Strategi dan perancangan adalah satu kemestian, tetapi strategi tanpa penghambaan dan pergantungan kita terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan membawa kemenangan yang hakiki. Jangan ada lagi kenyataan yang berbunyi “kita pasti menang kali ini” tanpa kita terlebih dahulu memperkukuhkan hubungan dan meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Rasullullah S.A.W telah bersabda :“ Sesunggunya zaman akan pantas berubah, tidak dapat tidak bagi mereka yang layak untuk sentiasa menguasai realiti zamannya.”

Menganalisa keputusan pilihanraya kecik Ijok, walaupun kalah, PKR telah berjaya menambah 470 undi iaitu satu tambahan yang amat menggalakkan dengan mengambilkira asakan ganas dari pihak UMNO/BN dengan serangan fizikal dan mental melalui media yang tidak beretika. Walaupun dirasakan terlalu sukar, yakinlah setiap kesusahan itu pasti ada kesenangan dan kelapangan. Yang penting ialah kesungguhan dan kebijaksanaan mengurus kebuntuan. Kalah menang bukan ukuran mutlak kerana yang akan dipersoalkan Allah adalah usaha dan kesungguhan kita.

Jika kita melakukan perkara yang sama sudah pasti hasilnya adalah sama. Oleh itu, kita perlu melakukan perkara yang berbeza untuk mendapatkan hasil yang berbeza. Usaha kita mesti bersungguh sungguh dan berstrategi.

Saya mahu muslimat keluar dari markaz mendekati masyarakat di luar markaz, di pasar-pasar, pusat beli belah, stesen bas dan keretapi, hospital dan klinik, rumah-rumah, masjid dan surau. Aktiviti-aktiviti dalam markaz dan bilik gerakan hanyalah kerja-kerja pentadbiran, pengurusan, kursus-kursus kemahiran dan serta program-program tarbiyah dalaman.

Satu strategi gerak kerja pilihan raya yang terkini hendaklah dirangka diperingkat pusat oleh kepimpinan akan datang. Kalau arahan yang diperturunkan agar DMPN keluar sebagai HalWa ke lapangan, muslimat pusat juga wajib turun ke negeri-negeri untuk menggerak, memantau dan memandu negeri-negeri. Adalah diharapkan gerak kerja pilihanraya kali ini tidak bersandar kepada persepsi dan sangkaan. Saya tidak mahu dengar lagi ada muslimat atau mana-mana petugas yang mengeluarkan kata-kata seperti “rumah-rumah tu tidak payah pergi atau masuk, mereka pekat atau berkarat atau piaou”; “lorong tu semua dah sokong kita, jangan kacau lagi, nanti mereka marah”; “taman tu banyak kakitangan kerajaan, mereka takut dan tidak mahu diganggu dan dilawati oleh petugas”.

Ini semua kata-kata yang telah melemaskan kita dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil yang lalu. Setiap kampung, taman, lorong, kampung baru, estet, kedai, gerai, flat mahupun kondo, mesti diziarahi. Sama ada kita dilayan atau tidak, itu perkara kedua. Tanggungjawab kita ialah berjumpa setiap pengundi berpandukan daftar yang ada tanpa mengabaikan pengundi-pengundi baru yang mungkin tiada dalam senarai daftar pemilih. Pilihan raya di Malaysia adalah pilihanraya teknikal, mereka menipu kita secara teknikal, jadi kita mesti bijak dari sudut teknikal.

Oleh itu, mari kita sama-sama tanam dan hadamkan beberapa perkara sebagai panduan gerak kerja pilihan raya akan datang :i. Keluar dari markaz, buat aktiviti ‘dalam’ masyarakatii. Setiap orang adalah mad’u kita dan berpotensi jadi penyokong dan pengundi kitaiii. Buat kerja berstrategi, tuju langsung kepada kumpulan sasaran dengan pendekatan yang sesuai untuk setiap kumpulaniv. Analisa kerja-kerja agar kita tahu pencapaian dan kelemahan, jangan buat kerja tanpa penilaianv. Buat kerja pilihan raya yang berbeza daripada sebelum ini untuk mendapatkan hasil yang berbeza iaitu insya Allah kemenangan yang padu.

Penutup

Akhirnya marilah kita bersama-sama melahirkan rasa syukur dan nikmat kepada Allah s.w.t kerana masih mengizinkan kita semua untuk bersama-sama berada dan berjuang di dalam jemaah yang kita kasihi ini. Saya pasti seluruh ahli muslimat di hadapan saya ini amat dalam cinta dan kasih kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan RasulNya.

Sekiranya tidak ada rasa kecintaan ini tetapi sebaliknya hanya bercita-cita untuk mengejar pangkat, kedudukan, wang-ringgit dan para-penyokong, sudah pasti ramai di antara kita yang sudah meninggalkan parti ini kerana perjuangan PAS tidak pernah menjanjikan sebarang ganjaran apatah lagi kehidupan yang mewah di dunia ini.

Marilah kita menggunakan pentas muktamar kali ini untuk menzahirkan penyatuan hati di kalangan seluruh ahli Muslimat sebagai satu agenda utama kita. Tugas kita di luar sana amat besar. Namun begitu kerja yang seberat mana sekalipun sekiranya digalas bersama-sama dengan semangat ukhuwah yang mantap, kita mampu untuk melaksanakannya dengan terbaik.
Saya percaya seluruh ahli muslimat tidak mengira latarbelakang, berjuang semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata. Ingatlah bahawasanya setiap kita akan menghadapi kematian, maka di samping menjaga hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala, kita juga perlu menjaga hubungan kita sesama ahli jemaah, jernihkan hati demi perjuangan menegakkan Islam.

ZAHIRKAN UKHUWAH, LEBARKAN DAKWAH.
Bersama kita MERDEKAKAN MINDA, MARTABATKAN RAKYAT.

Sekian, Wassalam. TAKBIR!

0 Response to "Merdekakan Minda, Martabatkan Rakyat"

    Converter